mytheory8
Antara Tuhan dan HantuDah lama ia disimpan. Cuma dek kerna malas (penyakit yang juga tak punya ubat itu), maka saya peram saja idea ini.
'Tuhan' dan 'hantu'. Bukan 'Allah' dan 'iblis' ya. Kerna Allah dan Iblis itu perkataan daripada bahasa Arab. Sedang Tuhan dan Hantu itu asalnya daripada Sanskrit. Allah dan Iblis muncul bila orang-orang Tanah Melayu ini sudah ada iman pada Yang Satu (sikit-sikit atau banyak, yang penting dah beriman).
Saya baca entri Pakdi asalnya. Lalu saya teringat idea lama ini. Idea tentang Tuhan dan Hantu.
Perkataan
Tuhan dan
Hantu itu kalau diperhatikan elok-elok tentu akan terperasan yang ia adalah keterbalikan. Pusing suku kata 'Tu han' akan jadi pula 'Han tu'. Begitu juga 'Han tu' akan jadi 'Tu han'.
Mungkin ada yang kata:
Tak disengajakan(kebetulan lah). Atau mungkin:
Kerna orang dulu tak punya idea lain untuk reka perkataan.Tapi fikir saya- ia tak semudah itu. Ada sesuatu yang disimpan dalam kata-kata itu. Ada yang sulit difahami, ada falsafah tersembunyi.
Bila Pakdi menulis tentang ceramah agama yang
gloomy-gloomy, yang tidak
energetic (mujur Pakdi tidak menulis gaya Manglish ini waktu pencinta2 bahasa bersorak), saya nampak lebih jelas kaitannya. Kaitan Tuhan dan Hantu ini.
Maka sejarahnya begini- Suatu masa Tanah Melayu adalah tanpa apa-apa pengaruh. Ia sendiri adalah bangsa Pagan. Bangsa Animisme. Lalu datang kerajaan Srivijaya yang agung dan menakluk Tanah Melayu. Jadilah hampir semuanya bangsa Tanah Melayu ini (kemudiannya disebut bangsa Melayu) sebagai beragama Hindu.
Kata orang-
Cinta pertama itu mustahil dilupa. Sekuat manapun ajaran Hindu yang datang, ia tetap datang sebagai
pendatang. Dek kerna hendaknya Pengamal-pengamal Hindu ini melihat Bangsa Melayu menganut agama Hindu, cepat-cepat dan pantas-pantas, mereka mula mengubahsuai ajaran Hindu mengikut fahaman Animisme Bangsa Melayu. Maka Hindu Melayu adalah Hindu versi Melayu. Ia bukan lagi Hindu yang asli.
Lalu dunia mana akan selamanya membenarkan satu bangsa terus di atas, dan satu bangsa lagi di bawah? Srivijaya jatuh, diganti Majapahit. Masih lagi Hindu. Tapi Hindu versi Tanah Jawa pula. Asimilasi lagi dengan Hindu versi Melayu. Hindu yang asli itu hilang entah ke mana.
Islam itu tinggi dan tiada lebih tinggi daripadanya.
Empayar Islam mula membesar. Melaka, Pattani, Demak dan kerajaan-kerajaan Islam kecil yang lain. Bangsa Melayu sekali lagi berubah. Islam semuanya. Sebagaimana Hindu nya Melayu, Islam melayu juga adalah Islam versi Melayu.
Allah itu Tuhan yang satu. Tapi dalam Islam, Allah itu terlalu agung. Dia satu-satunya di takhta. Dia tak punya lawan. Bahkan iblis dan syaitan itu juga hambanya. Bukan seterunya, malahan kulinya yang hina.
"Ini fahaman luarbiasa" kata orang Melayu. Dalam fahaman tuk nenek kita, Matahari menguasai siang dan bulan menguasai malam. Dalam Hindu, Rama itu mencipta, Siva memusnah. Tapi dalam Islam, Allah lah semuanya. Dia buat, dia musnah. Dia kawal semuanya. "Wah, hebat sangat!"
Dan inilah yang kita bawa sampai hari ini tanpa kita sedar. Tuhan itu lawannya hantu. Hantu itu juzuk jahat, tuhan itu juzuk baik. Macam Yin Yang. Kena ada dua-dua, barulah seimbang.
Tuhan itu kawal baik, syaitan itu kawal yang jahat. Patutnya Allah kawal dua-dua, tapi dek kerna Islam kita Islam asimilasi (Islam versi Melayu) maka kita pindahkan kuasa Allah kepada hambanya pula.
Dipermudahkan pada persoalan dalam blog Pakdi:
KENAPA KITA MESTI TAKUT TUHAN? KENAPA TAK KITA SAYANG TUHAN?Jawab saya:
Kerna tuhan itu hantu (pada pandangan kita).Kita melihat tuhan itu pada bayangan hantu. Kita melihat hantu dan tuhan itu dua-dua kuasa yang patut dihormati dan dipatuhi. Kita lupa pada Islam yang sebenarnya bahawa Allah itu pemilik mutlak dan hantu, syaitan, iblis,jin mahupun apa saja entiti-entiti lain, semuanya adalah hambanya.
Kita sayang hantu? Bodoh benarlah soalan saya ini. Tapi adakah manusia yang sayang hantu? Bahkan tok-tok bomoh yang membela hantu itu pun sebenarnya membenci hantu. KIta benci hantu, mustahil kita akan menyayangi hantu.
Kita tak mahu buat sesuatu yang begini dan begitu kerna kita TAKUTKAN hantu.
"Ampun nek, cucu minta lalu". Hantu agung pada pandangan kita kerna ia menakutkan kita.
Maka begitulah sebenarnya tuhan pada pandangan kebanyakan orang islam. Umpama hantu. Kita patuhkan tuhan kerna ia menakutkan kita. Kerna andai kita tak buat begitu-begitu, mampuslah kita:
masuk nerakalah kau.Walhal tuhan memberi pada timbangan keadilan. Dihukum yang bersalah, dibalas pula yang berbuat baik. Sedangkan Allah tak terjejas barang satu titik pun pada perbuatan hambanya. Walhal hantu pula sifatnya penuh dendam , benci dan marah. Ia sentiasa mahu bawa manusia bersamanya ke neraka.
Selagi tuhan itu dipandang pada pandangan hantu, selagi itulah tuhan takkan disayangi. Seumpama kita mustahil sayangkan hantu, seumpama itulah juga mustahil kita menyayangi tuhan. Kerna dalam hati kita tuhan itu sama menakutkan dengan hantu.